Jerawat adalah sejenis penyakit yang dianggap
kronik di mana ia mengganggu kelenjar yang terdapat di dalam lapisan
kulit. Kelenjar-kelenjar ini mengeluarkan minyak atau sebum yang
berfungsi untuk meliputi kulit luar muka dan badan kita dan bertindak
sebagai pelembap semula jadi pada permukaan kulit manusia. Namun begitu,
apabila liang roma pada permukaan kulit anda tersumbat, ini akan
membuatkan kulit muka, belakang dan leher ditumbuhi jerawat.
Kenali Punca-punca Jerawat
Secara lebih terperinci, jerawat
membentuk apabila sebum, bakteria dan sel kulit mati tersangkut di dalam
liang roma kulit. Lapisan kulit mati pada tubuh kita juga akan
digugurkan (shedding) setiap hari dan boleh terperangkap dalam liang
roma tersebut. Oleh itu, mari saya terangkan beberapa punca yang boleh
menyebabkan tumbuhnya jerawat pada kulit muka, belakang badan dan juga
kulit leher manusia.
Hormon dan Jerawat
Pada usia remaja, kelenjar sebaceous
mengembang dan mengeluarkan lebih banyak sebum di bawah pengaruh hormon
yang dikenali sebagai hormon androgen. Sebab itu ramai di kalangan
perempuan pada usia remaja dan awal dewasa kerap mengalami masalah
jerawat.
Namun begitu, lama-kelamaan liang sebaceous akan menghasilkan sebum yang semakin berkurangan berbanding pada usia remaja.
Bakteria dan Jerawat
Bakteria yang dikenali dengan nama "Propionibacterium acnes" pula adalah salah satu bakteria yang biasa
ditemui dalam sel kulit. Sumber makanannya ialah sebum dan sel-sel mati
pada permukaan kulit. Orang yang berjerawat mempunyai "Propionibacterium
acnes" yang lebih banyak berbanding dengan kulit orang yang tidak
berjerawat.
Pemakanan dan Jerawat
Walaupun punca jerawat yang disebabkan
oleh diet atau pemakanan tidak dapat dibuktikan dengan jelas serta
secara terperinci, tetapi diet mempunyai kesan langsung terhadap tahap
insulin dalam badan kita. Untuk pengetahuan anda, insulin adalah hormon
terpenting manusia dan boleh mempengaruhi hormon-hormon lain di dalam
tubuh termasuk hormon androgen yang turut menjadi penyebab pertumbuhan
jerawat pada kulit muka, belakang dan leher pesakit.
Stress dan Jerawat
Stress boleh memburukkan lagi simptom
jerawat anda tetapi ia boleh dicegah dengan rawatan jerawat yang betul.
Tahap stress yang tinggi memang mampu memberi kesan ke atas jerawat dan
boleh menyebabkan radang jerawat yang teruk. Selain itu, apabila kita
dalam keadaan stress, adrenalin serta hormon androgen yang ada di dalam
badan akan dikeluarkan dengan berlebihan dan menjadi punca berlakunya
pertumbuhan jerawat.
Alat Solek Dan Jerawat
Sebenarnya alat solek bukanlah punca
jerawat terbesar untuk kulit, tetapi jika anda tidak membersihkan kulit
anda dengan baik selepas memakai alat solek, ia boleh memburukkan lagi
keadaan jerawat pada kulit terutama muka anda.
Matahari Dan Jerawat
Cahaya matahari juga bukanlah penyebab
utama masalah jerawat tetapi haba yang dihasilkan oleh matahari boleh
menyebabkan kulit anda berpeluh dan berminyak sekaligus menyumbatkan
liang roma.
Pakaian Dan Jerawat
Tidak ramai yang mengalami masalah
ditumbuhi jerawat di belakang badan tetapi ia berlaku disebabkan oleh
jenis pakaian yang dipakai terutama dalam iklim tropika seperti di
Malaysia. Belakang badan mempunyai ribuan kelenjar dan liang roma yang
boleh memerangkap sebum. Jangan malas mandi kerana kulit yang bersih
boleh membebaskan anda dari belengu jerawat.
Sebenarnya ini adalah sebahagian sahaja
daripada punca-punca yang boleh menyebabkan kulit anda ditumbuhi
jerawat. Namun begitu, proses pertumbuhan jerawat adalah sangat kompleks
dan dikatakan boleh wujud daripada banyak punca. Saya akan terangkan
punca-punca jerawat dengan lebih lanjut dalam entri-entri yang akan
datang agar anda dapat mengenali punca jerawat yang mungkin anda hidapi.
No comments:
Post a Comment